Kejadian Alam
Sesungguhnya apabila seseorang itu berfikir dan meneliti kejadian
alam ini maka ia dapat petunjuk bahawa Allah s.w.t yang telah menjadikannya.
1. Melihat sesuatu kejadian yang ada disekeliling kita seperti
kerusi atau meja dan sebagainya maka kita dapati kerusi atau meja tersebut
tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang membuatnya dan yang
mengadakannya.
Maka dengan itu kita beri’tiqad dan percaya alam ini tidak boleh
ada dengan sendirinya melainkan ada yang menjadikan dan menciptakannya tentulah
Allah s.w.t yang Maha Pencipta.
2. Kita meneliti dan mengkaji dengan lebih jauh lagi akan
perbuatan-perbuatan orang yang membuat kerusi atau meja ada yang berbagai
bentuk dan rupa, yang mana mereka sentiasa membuat dan mengukir kerusi atau
meja tadi dengan lebih baik dan lebih halus lagi ukirannya tetapi tidak pernah
lengkap dan sempurna.
Maka itu kelemahan dan kekurangan manusia yang mengikut kadar dan
ilmu serta kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala. Maka kita menyedari
bahawa Allah Ta’ala adalah Maha Sempurna di dalam mencipta kejadian alam ini.
3. Kita melihat akan kejadian langit dan bumi ini dan alam
cekerawala ini daripada manusia, bulan, matahari, haiwan, tumbuh-tumbuhan yang
mana setiap jenis dijadikan dengan cukup lengkap dan sempurna. Contohnya
manusia yang dijadikan adalah sebaik-baik kejadian iaitu: berakal, bertutur,
mendengar dan lain-lain sifat lagi.
Dan apabila kita perhatikan alam cekerawala seperti bumi, langit,
bulan, matahari dan lain-lain yang mana semuanya dicipta untuk manafaat dan
keperluan semua makhluk yang mana semua itu melemahkan akal para cerdik pandai
memikirkan segala kejadian tersebut yang tiada tolok bandingnya. Maka nyatalah
di sini bahawa penciptanya mempunyai kuasa yang Maha Sempurna, Ilmu yang Maha
luas dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang Maha Suci dari segala
sifat kekurangan.
Sesungguhnya dari Kaedah Syar’iyyah dan berita para Nabi bahawa
yang menjadikan alam ini ialah Allah s.w.t kerana segala perbuatanNya
menunjukkan bekas bagi segala sifat yang Maha Suci dan tidaklah makhluk dapat
mengetahui hakikatnya kerana segala makhluk ciptaanNya sentiasa bersifat lemah
dan mempunyai segala kekurangan.
No comments:
Post a Comment